Ucapan Hari Raya Eidul Fitri 1446H Presiden Sahoca KL

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita sekali lagi diberi kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Saya, selaku Presiden SAHOCA KL, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh AJK Pengururusan, ahli SAHOCA KL, para guru, ibubapa serta pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid yang dikasihi.

Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga satu simbol kemenangan – kemenangan melawan hawa nafsu, kemenangan dalam meningkatkan ketakwaan, serta kemenangan dalam memperkukuh persaudaraan sesama kita. Semoga hari yang mulia ini membawa kebahagiaan, kedamaian, dan keberkatan kepada kita semua.

Kepada para sahabat SAHOCA, teruskan semangat persaudaraan dan kebersamaan dalam membantu alma mater serta generasi muda yang akan meneruskan legasi kecemerlangan Kolej Sultan Abdul Hamid. Kepada para pelajar, jadikanlah Hari Raya ini sebagai satu dorongan untuk terus berusaha dalam menimba ilmu dan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Di kesempatan ini, saya juga ingin memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kesilapan, sama ada secara lisan atau perbuatan, sepanjang kita berinteraksi.

Semoga Syawal ini membawa kebahagiaan kepada kita semua dan moga ukhuwah yang terjalin sesama kita kekal utuh dan diberkati.

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Dato’ Ar. IDr. Zulkhairi Md Zain
Presiden SAHOCA KL